Log masuk
untuk mendapatkan artikel arkib kami [
klik ] |
|
Pahala dapat, kurus pun
dapat! |
| Ibadah puasa
sebenarnya boleh membantu menjaga kesihatan termasuk mendapat
dan mengekalkan bentuk badan yang menarik. Dengan kata lain,
puasa boleh membantu menguruskan badan. Puasa kini bukan
sahaja diamalkan oleh penganut agama Islam, ia sudah mula
mendapat perhatian penganut agama lain.
Bagi
kita puasa sudah menjadi sebahagian daripada kewajipan yang
perlu kita laksanakan namun bagi mereka yang bukan beragama
Islam, mereka menganggap puasa adalah salah satu cara yang
amat berkesan untuk mengurangkan berat badan.
Puasa dan kesannya terhadap berat badan memang ketara jika
kita mengamalkan puasa yang sebenarnya dan mengikut aturan
makan terutamanya sewaktu berbuka puasa dan bersahur dengan
betul seperti yang disarankan dalam Islam.
Untuk
mendapatkan bentuk badan yang ideal melalui amalan berpuasa
ini, kita jangan mengambil makanan mengikut nafsu sebaliknya
ambillah makanan mengikut keperluan tubuh badan.
Seelok-eloknya apabila berbuka puasa, makanan yang diambil
perlulah bergantung pada keperluan individu. Anda dinasihatkan
mengambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran sewaktu berbuka
puasa. Pengambilan makanan yang mengandungi nilai kalori yang
tinggi, berlemak dan berkarbohidrat juga perlu
dielakkan.
Puasa Isnin
& Khamis
Kerana banyaknya
hikmah dan kebaikan berpuasa terhadap kesihatan kita, maka
umat Islam juga digalakkan berpuasa walaupun bukan di
sepanjang bulan Ramadan. Dalam Islam ada dinyatakan petua
untuk kekal sihat dan panjang umur adalah dengan melakukan
amalan puasa sunat setiap Isnin dan Khamis setiap
minggu.
Puasa sunat ini jika kita amalkan
seperti yang telah ditetapkan ia akan membantu kita mengawal
kalori dan menguatkan daya ketahanan asalkan tidak mengambil
terlalu banyak makanan berlemak dan manis. Namun ini bukan
bermakna anda tidak boleh langsung mengambil makanan manis,
cuma gantikan makanan manis itu dengan memakan buah-buahan,
serat dan jus buah-buahan yang dibuat sendiri. Jus yang dibuat
sendiri seeloknya tidak diletakkan gula yang banyak, lebih
baik jika tidak diletakkan langsung. Biarkan ia rasa manis
secara semulajadi.
Sewaktu menyediakan dan
mengambil makanan untuk berbuka puasa juga seharusnya
dibanyakkan makanan berprotein, telur, susu dan masakan yang
dikukus. Di sini kita boleh mengambil iktibar daripada
Rasululllah s.a.w. Mengapa nabi sunatkan kita berbuka puasa
dengan mengambil buah kurma terlebih dahulu? Sebenarnya dari
sudut diet, mendahulukan buah kurma adalah baik untuk
kesihatan. Selepas itu barulah diikuti dengan mengambil
makanan lain seperti roti atau nasi. Pengambilan makanan yang
mengandungi banyak santan dan makanan bergoreng wajar
disingkirkan dari senarai menu anda.
Makanan yang panas dan pedas
Antara menu terbaik untuk berbuka puasa adalah
asam laksa kerana ia mempunyai protein melalui kuah ikannya.
Ataupun sup sayuran yang mengandungi pelbagai jenis serat.
Asam laksa sangat baik kerana kuahnya mengandungi nilai
protein yang tinggi hasil daripada campuran isi ikan dan
sayur-sayuran.
Selain itu, kunyit dan temu lawak
juga boleh membantu mengurangkan lemak. Begitu juga makanan
pedas dan panas yang membantu membakar lemak. Kerana itu, bagi
mereka yang ingin menguruskan badan, ambillah makanan yang
bersifat panas dan pedas.
Selain berbuka,
bersahur juga penting. Walaupun anda hanya berpuasa sunat.
Sahur sama sifatnya dengan sarapan pagi. Dalam carta kesihatan
sarapan pagi tidak boleh diabaikan. Apabila bersahur, sama
juga dengan berbuka. Lebihkan pengambilan buah-buahan dan
protein. Ada orang gemar minum susu atau milo, tak mengapa
asalkan ada protein.
Bagaimanapun amalan
berpuasa sahaja masih tidak mencukupi untuk kita mengurangkan
berat badan dan mendapat bentuk badan yang ideal. Tidak ada
ertinya jika anda berpuasa tetapi dalam masa yang sama anda
hanya tidur dan memerap di rumah.
Bersenam di waktu petang
Apabila anda berpuasa, anda
juga masih boleh melakukan senaman. Namun masanya mungkin
berlainan daripada biasa. Apabila berpuasa janganlah bersenam
di awal pagi, perbuatan ini hanya akan menjadikan anda lebih
cepat berasa lapar dan dahaga, sebaliknya buatlah senaman
sekitar jam 5-6 petang. Walaupun anda akan rasa keletihan
tetapi ia akan hilang sebaik sahaja anda berbuka puasa. Jarak
antara masa anda bersenam dengan waktu berbuka juga sudah
tidak jauh.
Alasan berpuasa untuk tidak bersenam
tidak boleh diterima dalam konsep berpuasa mengikut cara
Islam. Senaman yang anda lakukan ketika sedang berpuasa akan
mempercepatkan lagi proses penurunan berat badan. Lemak-lemak
di tubuh tidak akan terkumpul setempat sebaliknya akan pergi
ke otot dan ia membantu mengurangkan rasa lapar. Satu daripada
senaman yang bagus untuk anda laksanakan ialah senaman angkat
beban di tangan yang membantu menguatkan otot dan
tulang.
Sekiranya anda
tidak berupaya untuk berjoging, berjalan kaki setengah jam
sudah mencukupi. Bagi anda wanita, aktiviti memasak, mengemas
rumah, membersihkan halaman ataupun turun naik tangga juga
boleh dianggap senaman yang boleh membakar
kalori.
Justeru sebagai
Muslimah, anda tidak perlu bersusah payah dan mengeluarkan
belanja yang besar untuk kelihatan kurus dan sihat. Hanya
amalkan amalan berpuasa dan ikut peraturan yang dianjurkan
dalam Islam. Insya-Allah anda akan memperolehi kedua-duanya
iaitu, kurus dan pahala. |
|
Tarikh
kemaskini: 05/11/2004
|